SOALAN:
Berikutan penerangan ustaz di dalam akhbar Utusan Malaysia
pada Jumaat 28 Ogos 2009 mengenai hal-hal adat Melayu yang boleh membawa kepada
syirik kepada keesaan Allah, saya amat berharap agar ustaz dapat menjelaskan
tentang hukum upacara bersanding dan merenjis semasa adat majlis perkahwinan
orang Melayu.
Jawapan:
Hukum Bersanding
Jika majlis persandingan tersebut dibuat secara tertutup (di
hadapan keluarga terdekat/mahram), ia diharuskan. Ini kerana ada di antara adat
yang masih boleh dipulihkan mengikut acuan Islam atau memenuhi tuntutan syarak.
Tujuan asal majlis bersanding ini ialah untuk memperkenalkan
pengantin yang bergelar raja sehari kepada orang ramai.
Memang seharusnya mereka diperkenalkan sebagai pasangan
suami isteri. Lebih-lebih lagi kebanyakan tetamu yang datang ke majlis walimah
itu adalah bertujuan melihat dan menatap wajah pasangan raja sehari.
Namun di dalam majlis yang penuh kemeriahan dan bersejarah
perlu di pastikan agar syariat Islam tidak tenggelam dalam lautan kegembiraan.
Persoalan yang sangat penting dalam bersanding ialah dari
manakah asalnya budaya bersanding; adakah ia budaya masyarakat melayu atau
budaya masyarakat lain.
Sepanjang pemerhatian, saya dapati budaya bersanding di
Malaysia asal usulnya adalah dari budaya masyarakat India. Sekiranya masyarakat
Melayu masih mahu berpegang kepada adat maka perlu pastikan adat itu tidak
bercanggah dengan syariat Islam.
Justeru, apa jua bentuk upacara majlis persandingan boleh
diadakan tetapi dengan syarat persandingan itu hanya dikhaskan untuk ahli
keluarga yang mahram sahaja.
Tiada percampuran iaitu pergaulan bebas antara lelaki dan
perempuan.
Tiada pembaziran dan tiada aktiviti-aktiviti yang
melalaikan. Apatah lagi jika mengabaikan perintah Allah SWT dengan meninggalkan
solat atas alasan sibuk melayan para tamu yang hadir.
Disebabkan manusia tidak mengambil berat terhadap syariat
maka hilangnya keberkatan dalam sebuah perkahwinan. Ini kerana manusia lebih
ghairah menggembirakan orang ramai dan tidak menggembirakan Allah SWT.
Itulah masalahnya; manusia hanya akan mencari Allah SWT
ketika ditimpa duka dan dalam keadaan terhimpit; dan melupai-Nya sewaktu dia
senang dan gembira.
Hukum Adat Merenjis
Adat merenjis jika ia dilakukan dengan kepercayaan untuk
menghindarkan pasangan pengantin daripada nasib buruk atau gangguan makhluk
halus, ia tidak ubah seperti mengikuti adat masyarakat Hindu. Ia adalah
diharamkan.
Sabda Rasulullah S.A.W, maksudnya: "Sesiapa yang
menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka". (Hadis sahih
riwayat Abu Dawud).
Dalam hadis lain yang dikeluarkan oleh al-Imam Ahmad, Ibn
Umar r.a juga berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Aku diutus dengan
pedang menjelang hari kiamat, sehingga (orang-orang bukan Islam) menyembah
Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, dijadikan rezeki dibawah bayangan
tombakku, dan dijadikan hina dan rendah bagi sesiapa saja yang berselisihan
dengan urusanku. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam
golongan mereka". (Musnad Ahmad)
Dua hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita mengenai
larangan Islam kepada umat Islam supaya tidak mencontohi atau meniru adat dan
amalan masyarakat yang lain selain dari Islam.
Namun begitu, jika ia dilakukan dengan niat semata-mata
untuk meriah dan menyerikan lagi majlis perkahwinan tersebut tanpa disertai
oleh sebarang niat yang lain, maka ia diharuskan.
Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah pihak yang melarang
mengamalkan adat tersebut dengan alasan ia bukan dari budaya Islam.
Memang benar, panel turut mengakuinya. Namun, Islam tidak
melarang sebarang adat tempatan dan budaya sesuatu tempat selagi mana adat dan
budaya tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan di dalam Islam.
Wallahu 'Alam.
No comments:
Post a Comment