Hukum Pengguguran Kandungan Menurut Islam.
Soalan: Assalamualaikum wbt., saya ingin bertanya. Apa hukumnya pengguguran kandungan dalam
pandangan Islam? Jika hukumnya harus,
bilakah saat yang dibenarkan melakukannya?
Ini kerana ada yang berpandangan bahawa sejak sperma bercantum dengan
ovum (sel telur), hukum menggugurkannya adalah haram. Tetapi ada yang berpandangan bahawa sebelum
janin berusia 40 hari, hukum menggugurkannya adalah mubah. Mana satu pandangan yang benar? Mohon
penjelasan.
Jawapan:
Pendahuluan
Pertamanya mesti difahami bahawa pengguguran kandungan
bukanlah semata-mata merupakan masalah perubatan atau kesihatan masyarakat,
melainkan ianya juga adalah masalah kemasyarakatan yang berhubungkait dengan
fahaman kebebasan (freedom/liberalisme) yang dianuti oleh sesebuah masyarakat.
Fahaman asing ini tidak diragui lagi telah menjadi pintu
masuk bagi berleluasanya amalan pengguguran kandungan, dalam mana-mana
masyarakat sekalipun. Perangkaan rasmi telah membuktikannya. Di luar negara,
khasnya di Amerika Syarikat, dua pertubuhan utama, iaitu Federal Centers for
Disease Control (FCDC) dan Alan Guttmacher Institute (AGI), telah mengumpulkan
data pengguguran kandungan yang menunjukkan bahawa jumlah nyawa yang melayang
dalam kes pengguguran kandungan di Amerika — iaitu hampir 2 juta — lebih banyak
dari jumlah mangsa perang mana pun dalam sejarah negara itu. Sebagai gambaran,
jumlah mangsa perang tentera AS dalam tiap-tiap peperangan adalah: Perang
Vietnam 58 151orang, Perang Korea 54.246 orang, Perang Dunia II 407 316 orang,
Perang Dunia I 116 708 orang, Civil War (Perang Sipil) 498 332 orang.
Secara keseluruhan, dalam sejarah dunia, jumlah kematian
karena pengguguran kandungan jauh melebihi jumlah mangsa seluruh peperangan
jika digabungkan keseluruhannya (www.genetik2000.com).
Data tersebut ternyata selari dengan perangkaan yang
menunjukkan bahawa majoriti rakyat Amerika (62 %) berpendirian bahawa hubungan
seksual dengan pasangan luar nikah lain, adalah boleh dilakukan. Mereka beralasan ianya biasa diamalkan dan
semua orang mesti melakukannya (James Patterson dan Peter Kim, 1991, The Day
America Told The Thruth dalam Dr. Muhammad Bin Saud Al Basyr, Amerika di Ambang
Keruntuhan, 1995, hal. 19).
Bahkan, kes kehamilan tidak dirancang ini di seluruh dunia
mencecah 80 juta setahun dengan anggaran 58 peratus membabitkan pengguguran
janin. Data terkini juga menunjukkan
kadar pengguguran paling tinggi di seluruh dunia membabitkan mereka yang
berusia antara 20 hingga 24 tahun.
Oleh itu dapat disimpulkan bahawa pengguguran kandungan
sememangnya adalah masalah sosial yang terkait dengan fahaman kebebasan
(freedom/liberalisme) yang lahir dari fahaman sekularisme, iaitu pemisahan
agama dari kehidupan (Abdul Qadim Zallum, 1998).
Walau bagaimanapun, hukum pengguguran kandungan itu sendiri
memang wajib difahami dengan baik oleh kaum muslimin, sama ada dari kalangan
pengamal perubatan mahupun masyarakat amnya.
Sebab bagi seorang muslim, syariat Islam merupakan kayu ukur bagi
seluruh perbuatannya. Selain itu
mengikatkan diri dengan syariat Islam adalah kewajiban bagi seorang muslim
sebagai bukti keimanannya terhadap Islam. Allah SWT berfirman:
“Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman
sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai pemutus perkara yang mereka
perselisihkan di antara mereka.” [Qs. an-Nisaa` (4): 65].
“Dan tidak patut bagi seorang mu`min laki-laki dan mu`min
perempuan, jika Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, kemudian
mereka mencari pilihan (yang lain) dalam urusan mereka.” [TQS. al-Ahzab (33):
36].
Sekilas Fakta Pengguguran Kandungan
Pengguguran di definisikan sebagai pembuangan embrio atau
janin dari rahim disebabkan oleh kematiannya atau menyebabkan kematiannya.
(www.infosihat.gov.my)
Pengguguran kandungan secara umum adalah berakhirnya suatu
kehamilan (oleh sebab-sebab tertentu) sebelum bayi tersebut mampu hidup di luar
kandungan. (JNPK-KR, 1999) (www.jender.or.id)
Ensiklopedia Bahasa Malaysia mengatakan pengguguran
merupakan penyingkiran atau pengeluaran embrio atau fetus dari uterus(rahim)
ibu , dan mengakibatkan kematian embrio atau fetus itu.
Dalam dunia perubatan terdapat tiga jenis pengguguran
kandungan, iaitu:
1.Pengguguran kandungan spontan/semulajadi atau Abortus
Spontaneus
2.Pengguguran kandungan buatan/sengaja atau Abortus
Provocatus Criminalis
3.Pengguguran kandungan Therapeutik/ Perubatan atau Abortus
Provocatus Therapeuticum
Pengguguran kandungan spontan/ Abortus spontaneous
berlangsung tanpa tindakan apapun. Kebanyakannya disebabkan karena kualiti sel
telur dan sel sperma yang kurang baik.
Pengguguran kandungan buatan/sengaja/ Abortus Provocatus
Criminalis adalah usaha mengakhiri kehamilan sebelum usia kandungan 20 minggu
atau berat janin kurang dari 500 gram sebagai suatu akibat tindakan yang
disengajakan dan disedari sepenuhnya oleh calon ibu maupun si pembantu
pengguguran kandungan (contohnya doktor, bidan atau bomoh).
Pengguguran kandungan therapeutik / Abortus Provocatus
Therapeuticum adalah pengguguran kandungan buatan yang dilakukan atas
pertimbangan perubatan. Sebagai contoh,
calon ibu yang sedang hamil tetapi mempunyai penyakit tekanan darah tinggi
kronik atau penyakit jantung yang ktitikal yang dapat membahayakan kedua-dua
ibu mahupun bayi yang dikandungnya.
Tetapi ini semua atas pertimbangan perubatan yang matang dan tidak
tergesa-gesa (www.genetik2000.com).
Pelaksanaan pengguguran kandungan adalah seperti berikut.:
Untuk usia kehamilan yang lebih muda, lebih senang
dilakukan. Semakin dewasa bertambah sukar untuk dilakukan dan risikonya juga
bertambah besar bagi si ibu.
Terdapat berbagai cara pengguguran yang dilakukan di
klinik-klinik pengguguran kandungan dan pada kebiasaanya bergantung kepada usia
dan saiz bayi di dalam kandungan ibu.
1. Pengguguran untuk kehamilan sehingga usia kandungan 12
minggu biasanya dilakukan dengan MR/ Menstrual Regulator iaitu dengan
penyedutan (di gambarkan seperti alat penyedut debu yang biasa, tetapi
berkekuatan 2 kali ganda).
2. Pada janin yang lebih besar (sehingga usia 16 minggu)
dengan cara Dilatasi & Curetage.
3. Janin berusia sehingga 24 minggu, pada peringkat ini
janin sudah cukup besar, oleh itu biasanya mesti dibunuh terlebih dahulu dengan
memasukkan racun. Misalnya dengan larutan garam yang pekat seperti
saline(sejenis air garam). Dengan jarum
khusus, larutan itu disuntik secara terus ke dalam rahim, sehingga menimbulkan
kesan keracunan pada bayi, kulitnya terbakar, kemudian ianya mati.
4.Usia kandungan melebihi 28 minggu biasanya dilakukan
dengan suntikan prostaglandin (sejenis hormon) sehingga berlaku proses
kelahiran buatan dan bayi dipaksa keluar dari rahim ibu.
5. Ada juga yang menggunakan kaedah operasi Caesarian
seperti pada kehamilan yang biasa (www.genetik2000.com).
Dengan berbagai alasan seseorang melakukan pengguguran
kandungan tetapi alasan yang paling utama adalah alasan-alasan yang tiada kena
mengena dengan perubatan. Di Amerika
Syarikat alasan pengguguran kandungan antara lain ialah:
1. Tidak ingin memiliki anak karena khuatir mengganggu
kerjaya, persekolahan, atau tanggung jawab yang lain (75%)
2. Tidak memiliki cukup wang untuk merawat anak (66%)
3. Tidak ingin memiliki anak tanpa ayah (50%)
Alasan lain yang sering dikemukakan adalah masih terlalu
muda (terutama mereka yang hamil di luar nikah), aib keluarga, ataupun sudah
memiliki ramai anak.
Data ini juga disokong oleh kajian Aida Torres dan
Jacqueline Sarroch Forrest (1998) yang menyatakan bahawa hanya 1% daripada kes
pengguguran kandungan disebabkan perkosaan atau incest (sumbang mahram), 3%
kerana membahayakan nyawa bakal ibu, dan 3% kerana janin akan membesar dengan
kecacatan yang serius. Manakala 93%
daripada kes pengguguran kandungan adalah disebabkan alasan-alasan yang
bersifat mementingkan diri sendiri termasuk khuatir tidak mampu membiayai, takut
dipencilkan masyarakat, malu, atau keinginan menjaga imej
(www.genetik2000.com).
Pengguguran Kandungan Menurut Hukum Islam
Dr. Abdurrahman Al Baghdadi (1998) dalam bukunya Persamaan
hak, Adakah Dalam Islam ms.127-128 menyebutkan bahawa pengguguran kandungan
biasanya dilakukan sebelum atau sesudah ruh (nyawa) ditiupkan. Jika dilakukan setelah ditiupkannya ruh,
iaitu setelah 4 (empat) bulan masa kehamilan atau 16 minggu, maka semua ulama
ahli fiqih (fuqaha’) sepakat akan keharamannya.
Tetapi para ulama fiqih berbeza pendapat jika pengguguran kandungan
dilakukan sebelum ditiupkannya ruh. Sebahagian membolehkannya dan sebahagian
lain mengharamkannya.
Yang membolehkan pengguguran kandungan sebelum ditiupkan
ruh, di antaranya adalah Muhammad Ramli (w. 1596 M) dalam kitabnya An Nihayah
dengan alasan kerana belum wujud makhluk yang bernyawa. Ada pula yang memandangnya makruh, dengan
alasan kerana janin sedang mengalami pertumbuhan.
Yang mengharamkan pengguguran kandungan sebelum peniupan ruh
antara lain Ibnu Hajar (w. 1567 M) dalam kitabnya At Tuhfah dan Al Ghazali
dalam kitabnya Ihya` Ulumiddin. Bahkan Mahmud Syaltut, bekas Rektor Universiti
Al Azhar Mesir berpendapat bahawa sejak bertemunya sperma dengan ovum maka
pengguguran kandungan adalah haram, sebab sudahpun ada kehidupan pada kandungan
yang sedang mengalami pertumbuhan dan persiapan untuk menjadi makhluk baru yang
bernyawa yang bernama manusia yang harus dihormati dan dilindungi
kewujudannya. Semakin kejam dan besar
dosanya, jika pengguguran kandungan dilakukan setelah janin bernyawa, dan akan
lebih besar lagi dosanya kalau bayi yang baru lahir dari kandungan itu dibuang
atau dibunuh. (Masjfuk Zuhdi, 1993, Masail Fiqhiyah Kapita Selekta Hukum Islam,
ms. 81; M. Ali Hasan, 1995, Masail Fiqhiyah Al Haditsah Pada Masalah-Masalah
Kontemporari Hukum Islam, ms.57; Cholil Uman, 1994, Agama Menjawab Tentang
Berbagai Masalah Abad Moden, ms.91-93; Mahjuddin, 1990, Masailul Fiqhiyah
Berbagai Kes Yang Dihadapi Hukum Islam Masa Kini, ms.77-79).
Pendapat yang disepakati fuqaha, iaitu bahawa haram hukumnya
melakukan pengguguran kandungan setelah ditiupkannya ruh (usia kandungan empat
bulan), didasarkan pada hakikat bahawa peniupan ruh berlaku setelah 4 (empat)
bulan masa kehamilan.
Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah SAW telah
bersabda:
“Sesungguhnya setiap kamu terkumpul kejadiannya dalam perut
ibumu selama 40 hari dalam bentuk ‘nuthfah’, kemudian dalam bentuk ‘alaqah’
selama itu pula, kemudian dalam bentuk ‘mudghah’ selama itu pula, kemudian
ditiupkan ruh kepadanya.” [HR. Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ahmad, dan
Tirmidzi].
Oleh itu, pengguguran kandungan setelah berusia 4 bulan
adalah haram, kerana ini bermakna membunuh makhluk yang sudah bernyawa. Maka ianya juga termasuk di dalam kategori
pembunuhan yang diharamkan.
Antara dalilnya adalah seperti berikut.:
Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena
kemiskinan. Kami akan memberikan rezeki
kepada mereka dan kepadamu.” [TMQ al-An’aam (6): 151].
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut
miskin. Kami akan memberikan rezeki
kepada mereka dan kepadamu.” [TMQ al-Isra` (17): 31]
“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah
(membunuhnya) melainkan dengan (alasan) yang benar (menurut syara’).” [TMQ
al-Isra` (17): 33].
“Dan apabila bayi-bayi yang dikubur hidup-hidup itu ditanya
karena dosa apakah ia dibunuh.” [TMQ at-Takwiir (81): 8-9].
Berdasarkan dalil-dalil ini maka pengguguran kandungan
adalah haram pada kandungan yang bernyawa atau telah berusia 4 bulan dan lebih,
sebab dalam keadaan demikian bererti pengguguran kandungan itu adalah suatu
tindakan jenayah pembunuhan yang diharamkan Islam.
Adapun pengguguran kandungan sebelum usia kandungan 4 bulan,
seperti dihuraikan di atas, para fuqaha berbeza pendapat dalam masalah
ini. Walau bagaimanapun dalam pandangan
Syaikh Abdul Qadim Zallum (1998) dan Dr. Abdurrahman Al Baghdadi (1998), hukum
syara’ yang lebih rajih (kuat) adalah sebagai berikut.
Jika pengguguran kandungan dilakukan setelah 40 (empat
puluh) hari, atau 42 (empat puluh dua) hari dari usia kehamilan dan pada saat
permulaan pembentukan janin, maka hukumnya haram. Dalam hal ini hukumnya sama
dengan hukum keharaman pengguguran kandungan setelah peniupan ruh ke dalam
janin.
Manakala pengguguran kandungan yang usianya belum mencapai
40 hari, maka hukumnya boleh (ja’iz) dan tidak apa-apa. [Abdul Qadim Zallum,
1998, Beberapa Masalah Kontemporari Dalam Pandangan Islam: Kloning, Pemindahan
Organ, Pengguguran Kandungan, Bayi TabungUji, Penggunaan Organ Tubuh Buatan,
Definisi Hidup dan Mati, ms.45-56; Dr. Abdurrahman Al Baghdadi, 1998, Persamaan
hak, Adakah Dalam Islam, ms.129 ].
Dalil syar’i yang menunjukkan bahawa pengguguran kandungan
haram bila usia janin 40 hari atau 40 malam adalah hadits Nabi SAW berikut:
“Jika nutfah (gumpalan darah) telah melalui empat puluh dua
malam, maka Allah mengutus seorang malaikat padanya, lalu dia membentuk nutfah
tersebut; dia membuat pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya, dan
tulang belulangnya. Lalu malaikat itu
bertanya (kepada Allah), ‘Ya Tuhanku, apakah dia (akan Engkau tetapkan) menjadi
laki-laki atau perempuan?’ Maka Allah kemudian memberi keputusan…” [HR. Muslim
dari Ibnu Mas’ud ra].
Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:
“(jika nutfah telah melebihi)empat puluh malam…”
Hadits di atas menunjukkan bahawa permulaan penciptaan janin
dan penampakan anggota-anggota tubuhnya, adalah setelah melebihi 40 atau 42
malam. Dengan demikian, penderaan terhadapnya adalah suatu penderaan terhadap
janin yang sudah mempunyai tanda-tanda sebagai manusia yang terpelihara
darahnya (ma’shumud dam). Tindakan penderaan tersebut merupakan pembunuhan
terhadapnya.
Berdasarkan penjelasan di atas, maka pihak ibu si janin,
bapanya, ataupun doktor, diharamkan menggugurkan kandungan ibu tersebut bila
kandungannya telah berumur 40 hari.
Siapa saja dari mereka yang melakukan pengguguran kandungan,
bererti telah berbuat dosa dan telah melakukan tindakan jenayah yang mewajibkan
pembayaran diyat bagi janin yang gugur, iaitu seorang hamba lelaki atau
perempuan, atau sepersepuluh diyat manusia sempurna (10 ekor unta), sebagaimana
telah diterangkan dalam hadits sahih dalam masalah tersebut. Rasulullah SAW bersabda :
“Rasulullah SAW memberi keputusan dalam masalah janin dari
seorang perempuan Bani Lihyan yang gugur dalam keadaan mati, dengan satu
ghurrah, iaitu seorang hamba lelaki atau perempuan…” [HR. Bukhari dan Muslim,
dari Abu Hurairah r.a.] [Abdul Qadim Zallum, 1998)].
Manakala pengguguran kandungan pada janin yang usianya belum
mencapai 40 hari, maka hukumnya boleh (ja’iz) dan tidak apa-apa. Ini disebabkan
bahawa apa yang ada dalam rahim belum menjadi janin karena dia masih berada
dalam tahapan sebagai nutfah (gumpalan darah), belum sampai pada fasa
penciptaan yang menunjukkan ciri-ciri minima sebagai manusia.
Di samping itu, pengguguran nutfah sebelum menjadi janin,
dari segi hukum dapat disamakan dengan ‘azl (coitus interruptus) yang
dimaksudkan untuk mencegah terjadinya kehamilan. ‘Azl dilakukan oleh seorang laki-laki yang
tidak menghendaki kehamilan perempuan yang digaulinya, sebab ‘azl merupakan
tindakan mengeluarkan sperma di luar vagina perempuan. Tindakan ini akan mengakibatkan kematian sel
sperma, sebagaimana akan mengakibatkan matinya sel telur, sehingga akan
mengakibatkan tiadanya pertemuan sel sperma dengan sel telur yang tentu tidak
akan menimbulkan kehamilan.
Rasulullah SAW telah membolehkan ‘azl kepada seorang
laki-laki yang bertanya kepada baginda mengenai tindakannya mempergauli hamba
perempuannya, sedangkan dia tidak menginginkan hamba perempuannya itu
hamil. Rasulullah SAW bersabda
kepadanya:
“Lakukanlah ‘azl padanya jika kamu suka!” [HR. Ahmad,
Muslim, dan Abu Dawud].
Walau bagaimanapun, seandainya terdapat kes yang disahkan
oleh seseorang doktor yang pakar bahawasanya dengan meneruskan kehamilan
mahupun kewujudan janin di dalam perut seseorang ibu itu dikhuatiri akan
mengakibatkan kematian ibu dan sekaligus janin yang dikandungnya, maka dalam
keadaan seperti ini, pengguguran kandungan sama ada pada tahap usia penciptaan
janin, ataupun setelah berlaku peniupan ruh pada janin, adalah dibenarkan
menurut syarak sebagai satu usaha untuk menyelamatkan nyawa ibu. Menyelamatkan kehidupan adalah sesuatu yang
diperintahkan oleh Islam, sesuai firman Allah SWT:
“Barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka
seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” [TMQ al-Maa’idah
(5): 32] .
Selain itu pengguguran kandungan dalam kondisi seperti ini
dikira sebagai usaha rawatan kerana Rasulullah SAW telah memerintahkan umatnya
untuk berubat. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla setiap kali menciptakan
penyakit, Dia menciptakan pula ubatnya.
Maka berubatlah kalian!” [HR. Ahmad].
Kaedah fiqh dalam masalah ini menyebutkan:
“Idza ta’aradha mafsadatani ru’iya a’zhamuha dhararan
birtikabi akhaffihima”
Bermaksud “Jika berkumpul dua mudharat (bahaya) dalam satu
hukum, maka dipilih yang lebih ringan mudharatnya.” [Abdul Hamid Hakim, 1927,
Mabadi` Awaliyah fi Ushul Al Fiqh wa Al Qawa’id Al Fiqhiyah, ms.35].
Berdasarkan kaedah ini, seorang wanita dibolehkan
menggugurkan kandungannya jika kandungan itu akan mengancam hidupnya, meskipun
ini bermakna dia mesti membunuh janinnya.
Memang menggugurkan kandungan adalah suatu mafsadat. Begitu pula hilangnya nyawa sang ibu jika
tetap mempertahankan kandungannya juga suatu mafsadat. Namun adalah jelas bahawa menggugurkan janin
didalam kandungan itu lebih ringan mudharatnya daripada menghilangkan nyawa
ibunya, atau membiarkan kehidupan ibunya terancam dengan kewujudan janin
tersebut. [Dr. Abdurrahman Al Baghdadi, 1998].
Pendapat yang menyatakan bahawa pengguguran kandungan
diharamkan sejak pertemuan sel telur dengan sel sperma dengan alasan karena
sudah ada kehidupan pada kandungan, adalah pendapat yang tidak rajih (kuat).
Ini kerana kehidupan sebenarnya tidak hanya wujud setelah pertemuan sel telur
dengan sel sperma, tetapi bahkan dalam sel sperma itu sendiri sudah ada
kehidupan, begitu pula dalam sel telur,walaupun sejak kedua sel itu belum
bertemu. Kehidupan (al hayah) menurut
Ghanim Abduh dalam kitabnya Naqdh Al Isytirakiyah Al Marksiyah (1963) ms.85
adalah “sesuatu yang ada pada organisma hidup.” (asy syai` al qa`im fi al ka`in
al hayyi). Ciri-ciri adanya kehidupan
adalah adanya pembesaran, pergerakan, kepekaan, keperluan terhadap makanan,
berkembangbiak, dan sebagainya. Dengan
pengertian kehidupan sebegini, maka dalam sel telur dan sel sperma (yang masih
baik, belum rosak) sebenarnya sudah terdapat kehidupan, sebab jika dalam sel
sperma dan sel telur tidak ada kehidupan, niscaya tidak akan dapat terjadi
pembuahan sel telur oleh sel sperma. Jadi,
kehidupan (al hayah) sebenarnya terdapat dalam sel telur dan sel sperma sebelum
terjadinya pembuahan, bukan hanya ada setelah persenyawaan.
Berdasarkan penjelasan ini, maka pendapat yang mengharamkan
pengguguran kandungan setelah pertemuan sel telur dan sel sperma dengan alasan
sudah adanya kehidupan, adalah pendapat yang lemah, sebab tidak didasarkan pada
pemahaman fakta yang tepat akan pengertian kehidupan (al hayah). Pendapat tersebut secara tak langsung
menyatakan bahawa sebelum terjadinya pertemuan sel telur dan sel sperma, tidak
ada kehidupan pada sel telur dan sel sperma. Padahal faktanya tidak
demikian. Andaikata pendapat itu
diterima, niscaya segala sesuatu aktiviti yang menghilangkan kehidupan adalah
haram, termasuk ‘azl. Ini kerana didalam amalan‘azl terdapat upaya untuk
mencegah terjadinya kehidupan, iaitu maksudnya kehidupan pada sel sperma dan
sel telur (sebelum bertemu). Padahal
‘azl telah dibolehkan oleh Rasulullah SAW.
Dengan kata lain, pendapat yang menyatakan haramnya pengguguran
kandungan setelah pertemuan sel telur dan sel sperma dengan alasan sudah adanya
kehidupan, akan bercanggah dengan hadits-hadits yang membolehkan ‘azl.
Kesimpulan
Pengguguran kandungan bukan sekadar masalah perubatan atau
kesihatan masyarakat, namun ianya juga adalah masalah masyarakat yang muncul
kerana manusia dipengaruhi oleh Tamadun Barat.
Maka pemecahannya mestilah dilakukan secara
komprehensif-fundamental-radikal, yang intipatinya adalah dengan mencabut sikap
taqlid kepada tamadun Barat dengan menghancurkan segala nilai dan institusi
peradaban Barat yang bercanggah dengan Islam, untuk kemudian digantikan dengan
tamadun Islam yang manusiawi dan adil.
Hukum pengguguran kandungan dalam pandangan Islam menegaskan
keharaman pengguguran kandungan jika umur kehamilannya sudah 4 (empat) bulan,
yakni sudah ditiupkan ruh pada janin.
Manakala bagi janin yang berumur di bawah 4 bulan, memang
wujud khilafiyah/perbezaan pendapat di kalangan para ulama. Namun menurut kefahaman kami, pendapat yang
rajih (kuat) adalah jika pengguguran kandungan dilakukan setelah 40 (empat
puluh) hari, atau 42 (empat puluh dua) hari dari usia kehamilan dan pembentukan
janin, maka hukumnya haram. Manakala
pengguguran kandungan yang usianya belum mencapai 40 hari, maka hukumnya boleh
(ja’iz) dan tidak apa-apa.
Wallahu a’lam [M. Shiddiq al-Jawi].
Rujukan
Abduh, Ghanim, 1963, Naqdh Al Isytirakiyah Al Marksiyah,
t.p., t.tp
Al Baghdadi, Abdurrahman, 1998, Persamaan Hak, Adakah Dalam
Islam, Gema Insani Press, Jakarta
Hakim, Abdul Hamid,1927, Mabadi` Awaliyah fi Ushul Al Fiqh
wa Al Qawa’id Al Fiqhiyah, Sa’adiyah Putera, Jakarta
Hasan, M. Ali, 1995, Masail Fiqhiyah Al Haditsah Pada
Masalah-Masalah Kontemporari Hukum Islam, RajaGrafindo Persada, Jakarta
Mahjuddin, 1990, Masailul Fiqhiyah Berbagai Kes Yang
Dihadapi Hukum Islam Masa Kini, Kalam Mulia, Jakarta
Uman, Cholil, 1994, Agama Menjawab Tentang Berbagai Masalah
Abad Moden, Ampel Suci, Surabaya
Zallum, Abdul Qadim, 1998, Beberapa Masalah Kontemporari
Dalam Pandangan Islam : Kloning, Pemindahan Organ, Pengguguran Kandungan, Bayi
Tabung Uji, Penggunaan Organ Tubuh Buatan, Definisi Hidup dan Mati, Al-Izzah,
Bangil
Zuhdi, Masjfuk, 1993, Masail Fiqhiyah Kapita Selekta Hukum
Islam, Haji Masagung, Jakarta.
No comments:
Post a Comment