Pemakaian purdah ataupun nama lainnya ialah Niqab adalah
perkara yang didalamnya terdapat khilaf dikalangan Ulama.Khilaf ini dikenali
dengan nama Khilaf yang Muktabar.Khilaf yang muktabar ialah khilaf yang berlaku
antara ahli ilmu yang mereka semua mempunyai dalil yang diterima di sisi kaedah
penghujahan syarak atau perkara yang tiada dalil yang jelas mengenainya, atau
mereka berbeza pendapat kerana ketidakjelasan dalil. Maka hukuman yang
diputuskan fuqaha dalam masalah tersebut bersifat ijtihadiyyah.
Ulama terdahulu dikalangan mazhab Hanafi, mazhab Maliki dan
mazhab Syafie dalam pendapat yang lemah disisi mereka telah berpendapat bahawa
wanita boleh membuka muka dan tapak tangannya. Had muka adalah dari tempat
tumbuh rambut (kebiasaannya) sehingga dibawah dagu dari segi panjang. Dari segi
lebar adalah diantara dua cuping telinga.
Ini juga pendapat sebahagian sahabat dikalangan Ibnu Abbas,
Ibnu Umar dan sebahagian tabi’ien seumpama Sa’id bin Jubair dan ‘Ata.
Kata-kata ulama tafsir yang menyokong pendapat ini
Dalam mentafsirkan ayat 31 surah an-Nur, Imam at-Tobari
telah berkata:
“Pendapat yang paling benar ialah pendapat yang mengatakan
bahawa perhiasan wanita yang zahir yang boleh ditunjukkan ialah muka dan tapak
tangan. Ia termasuklah celak, cincin, gelang dan inai.
Imam al-Jassas dalam mazhab Hanafi telah berkata:
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Mujahid, ‘Ata yang mengatakan
maksud ayat tersebut (ayat 31 surah an-Nur) adalah sesungguhnya muka dan tapak
tangan, inai dan celak termasuk dalam perhiasan zahir yang boleh ditunjukkan.
Imam Abu Bakar bin al-Arabi dari mazhab Maliki telah berkata
ketika mentafsirkan ayat yang sama:
“Perhiasan zahir yang dibenarkan untuk ditunjuk ada dua
bahagian. Perhiasan zahir yang asal dan yang dibuat. Yang asal adalah mukanya
yang asal bagi kecantikan dan keelokan semula jadi. Perhiasan yang dibuat
adalah apa yang cuba dilakukan wanita untuk mengelokkan kejadiannya seperti
pakaian, barang kemas , celak dan inai".
Dalam ayat yang sama, ibnu kathir dari mazhab Syafie menyatakan:
“Berkemungkinan Ibnu Abbas dan orang yang mengikutinya telah
mentafsirkan ayat “Melainkan perhiasan yang zahir (boleh ditunjukkan).” Adalah
muka dan tapak tangan. Ini adalah pendapat yang masyhur menurut jumhur ulama.
Kata-kata ulama fekah yang menyokong pendapat ini.
Al-Qaduri dari mazhab Hanafi telah berkata:
“Dan haram seorang lelaki memandang perempuan yang bukan
mahram melainkan muka dan tapak tangan.”
Ad-Dirdiri dari mazhab Maliki dari mazhab Maliki telah
berkata:
“Aurat perempuan yang merdeka bersama lelaki yang bukan
mahram adalah semua melainkan muka dan tapak tangan.”
Imam at-Tohawi dari mazhab Hanafi berkata:
“Ditegah wanita muda mendedahkan muka kerana ditakuti
fitnah, bukan kerana ianya aurat.”
Syed Muhammad Zaki Ibrahim berkata:
“Menutup muka dengan niqab yang menutup semua muka adalah
perkara yang bukan wajib dan bukan sunat yang kuat tetapi ia adalah hanya
perasaan dan emosi peribadi sahaja.”
Pendapat kedua:
Haram mendedahkan muka dan tapak tangan. Ini adalah pendapat
mazhab Hambali dan sebahagian mazhab Syafie.
Syeikh Mansur bin Yunus al-Bahuti berkata:
“Wanita yang merdeka seluruh tubuhnya adalah aurat didalam
solat sehinggalah kuku dan rambutnya. Ini berdasarkan sabda Nabi saw “Wanita
adalah aurat” Hr Tirmizi.”
Syeikh Sulaiman al-Jamal dari mazhab syafie berkata:
“Aurat wanita dihadapan lelaki yang bukan mahram adalah
seluruh badan.”
Menutup muka kerana timbulnya fitnah
Para ulama empat mazhab bersepakat bahwa wajib wanita
menutup mukanya kerana takut fitnah dan berlakunya keburukan.
Imam Kauthari ra berkata:
“Pendapat ulama yang mengharuskan menunjukkan muka adalah
sekiranya tidak timbulnya fitnah.”
Di zaman ini, antara ulama yang menegaskan wajah wanita
adalah aurat ialah al-Syeikh Ibn Baz r.h. ( mufti Saudi yang telah meninggal )
dalam fatwa-fatwanya yang banyak, diikuti oleh para ulama di Saudi. Sebelum itu
‘Abu al-‘Ala al-Maududi r.h. dalam bukunya al-Hijab juga menegaskan akan hal
berpurdah ini.
Sementara yang menyatakan wajah wanita yang bukan aurat
ialah majoriti ulama semasa, antaranya Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya
al-Niqab li al-Marah”,dan al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. dalam Jilbab
al-Marah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah” dan kitabnya yang terakhir
sebelum beliau meninggal sebagai jawapan dan tambahan kepada kitab tersebut
iaitu Al-Radd al-Mufhim. Begitu juga Muhammad al-Ghazali r.h. dalam banyak
tempat dalam buku-bukunya.
Kesimpulan: Ini adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama.
Kita hendaklah terbuka dalam masalah khilaf yang kuat dikalangan ulama.
No comments:
Post a Comment