HIDUP MESTI BERSAHABAT .
Bismillah…
Memetik sabda Rasulallah SAW sebagai permulaan tinta :
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A., beliau berkata :
Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya : “seseorang Mukmin itu berada di atas
agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya. Maka, salah seorang daripada kamu
hendaklah memerhatikan dengan siapakah dia bersahabat” (HR. Al-Tirmidzi dan Abu
Daud).
Setiap dari kita… pasti memiliki ramai kawan yang menjadi
peneman dalam kehidupannya. Kawan di sekolah, universiti, tempat kerja, taman
perumahan, dan di semua tempat yang boleh dicari seorang insan yang bernama
kawan. Tak kiralah, kawan, sahabat, teman, rakan dan kenalan = semuanya membawa
maksud yang hampir sama.
Islam sangat menggalakkan umatnya supaya mengenali
saudaranya yang lain demi membina persaudaraan yang kukuh dan didasarkan hanya
kerana Allah S.W.T.. Dengan mengenepikan perbezaan pangkat dan keturunan,
seorang Muslim itu hakikatnya bebas untuk merasai ketenangan dan kebahagiaan
ukhuwwah Islamiyyah yang dibina. Apa yang dicari tidak lain hanyalah ketakwaan
kepada Allah semata-mata.
Etika Pergaulan melalui Sabda Rasulullah S.A.W.
Seseorang itu, pasti akan menangisi dirinya apabila
dikhianati oleh seorang kawannya yang lain. seorang sahabat pasti akan kecewa
apabila janji yang disepakati telah dikhianati.
Fitrah menunjukkan bahawa tiada manusia sanggup disakiti dan
dikhianati dalam sesebuah perhubungan.
Setiap insan pasti mahu dihormati dan dilayani dengan harga diri seorang
manusiawi. Rasulullah S.A.W. bahkan sangat cermat dan teliti dalam mengajarkan
kepada umatnya etika dalam pergaulan, seperti yang terdapat dalam maksud hadith
Baginda yang jelas, maksudnya :
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia menyayangi
saudaranya seumpama dia mengasihi dirinya sendiri”
Indah bukan ajaran Islam. Menggalakkan umatnya supaya
melayani sesiapa pun dengan lebih baik daripada melayani diri sendiri. Jika
mahu diri dihormati, maka belajarlah untuk memuliakan orang lain. jika kita
mahu disayangi, kita terlebih dahulu perlu belajar bersikap ihsan. Sekiranya
kita ingin dihargai, seharusnya kita merasa
untuk ringan untuk pandai berterima kasih. Sekiranya kita menuntut untuk
difahami, jangan sombong untuk memohon maaf. Kadang-kadang, kita bersikap
sombong dan ego. Keras hati dan sukarnya mahu mengakui kesalahan sendiri.
Akibatnya? – kita menanggung kesilapan tersebut sendirian.
Kebersamaan dalam BerSahabat
Saudara SeIman ku …
Ayuh bersama kita lewati lorong waktu, menyusuri jalan-jalan
dunia yang penuh tipu daya, dengan kebersamaan. Bersama pertukaran pagi, siang,
petang dan malam, yang penuh liku, dengan persahabatan dalam keimanan. Di
dunia, kita harus saling berpegangan tangan. Tidak mungkin kita akan selamat
mengharungi bahtera kehidupan yang sangat luas dengan ancaman badai fitnah
akhir zaman ini seorang diri. Bahkan kita juga tidak dapat melepaskan diri dari
ancaman fitnahnya dengan hanya mengandalkan kemampuan sendiri. Kerana, kita
diciptakan sebagai makhluk yang penuh kelemahan dan mudah terpedaya.
“Dan diciptakan manusia itu dalam keadaan lemah.” (Qs. An
Nisa:28)
Pertemuan di jalan Allah inilah yang akan membantu kita
menyelesaikan hidup dengan kebaikan. Persaudaraan, kebersamaan dan persahabatan
di jalan Allah ini jugalah akan mengiringi kita pada kebahagiaan di akhirat sana.
Allah S.W.T memberitakan bahwa hanya persahabatan atas dasar Iman dan Takwalah
yang abadi.
“Teman-teman akrab pada hari itu (hari kiamat) sebagiannya
menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Qs.
Az Zukhruf: 67).
“Seluruh pertemanan dan persahabatan yang tidak kerana Allah
pada hari kiamat akan berubah menjadi permusuhan.” (Ibn Kathir). Rasulullah
S.A.W. juga berpesan dalam sabdanya, yang menyebut bahwa kita akan dibangkitkan
di hari kiamat bersama orang yang kita cintai.
Antara Pembawa minyak wangi dan Peniup Besi
“perumpamaan seorang sahabat yang baik dan buruk adalah
seperti seperti seorang pembawa minyak wangi dan peniup besi. Pembawa minyak
wangi, sama ada dia memberikan minyak wanginya kepada kamu atau kamu membelinya
daripada dia atau kamu terkena bauan yang wangi daripadanya. Si peniup besi
pula, sama ada dia menyebabkan pakaianmu terbakar atau kamu mendapat bauan yang
busuk daripadanya” (Maksud Hadith, HR Al-Bukhari dan Muslim)
Pemerhatian terhadap pemilihan sahabat ini bukanlah
bertujuan agar sahabat yang dicari itu perlu mempunyai satu pemikiran dan corak
kehidupan yang sama dengannya. Sedangkan sifat seorang sahabat yang baik adalah
membantu orang lain dalam setiap urusan agama dan kehidupan mereka. Inilah
tradisi mulia yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai panduan kita,
umatnya.
Carilah sahabat yang boleh dijadikan ubat. Itulah sahabat
yang kenal “Akhirat” kerana kita akan turut sama terpikat. Terpikat bukan
dengan maksiat, tetapi jatuh cinta berpandukan Syariat.
Carilah sahabat yang kuat berguru menuntut ilmu, dengan
Syaitan pastikan berseteru.
Carilah sahabat yang sanggup bersusah lelah, berbakti dan
beribadah kerana Allah.
Carilah sahabat yang sanggup menahan “bisa” demi kita, dan
kita juga sanggup melakukan seperti apa yang dilakukannya.
Ibarat Abu Bakar al-Siddiq dan Nabi S.A.W. yang bersahabat hanya kerana Ilahi, demi
melestarikan manisnya sehingga ke alam Syurgawi.
Gambaran orang beriman yang bersahabat di Akhirat kelak
Dalam sebuah kisah, Saidina Ali bin Abi Thalib RA
mengisahkan bagaimanakah gambaran orang beriman yang bersahabat di Akhirat
kelak : “Ada dua orang mukmin yang
bersahabat dan berteman akrab. Salah seorang di antara keduanya meninggal lebih
dahulu dan dia mendapat berita gembira dengan Syurga. Ketika itu dia mengingat
teman akrabnya di dunia lalu berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya fulan adalah teman
akrabku, dia yang menganjurkanku berlaku taat kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu.
Dia yang mengajakku melakukan kebaikan dan mencegahku melakukan kemungkaran.
Dia juga yang menyedarkanku akan pertemuan dengan-Mu. Ya Allah jangan Engkau
sesatkan dia sepeninggalku sampai Engkau memperlihatkan kepada-nya kenikmatan yang
Engkau berikan padaku dan sampai Engkau meridhainya sebagaimana Engkau redha
kepadaku,” Maka Allah berkata kepadanya, “Pergilah, seandainya engkau tahu yang
Aku berikan kepadanya pasti engkau akan banyak tertawa dan sedikit menangis. “
Kemudian teman akrabnya itu meninggal dan ruh mereka
bertemu. Dikatakan pada mereka, “Saling memujilah kalian kepada sahabat
kalian.” Maka masing-masing mereka mengatakan, “Dia adalah sebaik-baik teman,
sebaik-baik saudara, sebaik-baik sahabat….”
Indahnya!. Pertemuan yang sangat mengesankan dan penuh
kegembiraan.
Sahabat, Biarlah
Allah sebagai Pengikat Hati-Hati Kita!
Duhai Saudara ku..
Dalam setiap hubungan persahabatan, pasti ada kelemahan dan
kejahatan. Sahabat kita punya kelemahan, kita juga punya kelemahan. Janganlah
terlalu menginginkan kesempurnaan. Kita bukannya bersahabat dengan Malaikat,
tetapi dengan Manusia yang punya banyak khilaf. Kadang kita berhadapan dengan
rajuk, marah dan pelbagai lagi karenahnya. Kasih kepada sahabat tidak
menjadikan kita “buta” dengan kelemahan tersebut tetapi menerimanya dengan
sewajarnya. Kelemahan, kalaupun ianya tidak dapat diatasi tetapi boleh diterima
dengan rela dan redha.
Bagaimana dengan kejahatan? Berhati-hati! terutama kepada
mereka yang merancang menggunakan anda, melaga-lagakan, menyekat perhubungan
anda dan melampaui batas dengan strategi “memijak” dan dalam masa yang sama
“melonjakkan” dirinya sendiri. Berdoalah… moga kita dijauhkan dari manusia
sedemikian.
Jagalah Allah dalam melunasi perhubungan dengan selalu menjaga
syariatnya dalam persahabatan. Dalam hubungan sesama makhluk, biarlah al-Khaliq
menjadi pengikatnya. Iman – mengikat Hati manusia umpama “simen” yang
melekatkan batu-bata. Tanpa simen, pastilah batu-bata tersebut tidak dapat
disusun dan di”satu”kan.
Jangan melupakan Allah dalam usaha memburu kasih sayang
manusia kerana apabila Allah dilupakan, kita akan gagal dalam menikmati kasih
sayang manusia. Lihatlah kebaikan sahabat mu dengan merasai hakikat kebaikan
Allah S.W.T.. apabila ada kelemahan dan kejahatan dalam dirinya, anggap itu
adalah salah satu cara dan jalan Allah menguji kita. Dengan mudah, kita
hapuskan segala sengketa.
# Ya ar-Rahman, Ya ar-Rahim.. hiasilah hati-hati kami dengan
keimanan dan perasaan saling menyayangi sesama umat Islam. Amien Ya Rabbal
‘Alamin..
No comments:
Post a Comment